KUALA LUMPUR 4 Dis. - HUBUNGAN antara Malaysia dan Singapura hari ini bertukar kecoh apabila berlaku perbalahan dan saling berbalas kenyataan berhubung isu kedaulatan negara membabitkan Menteri Pengangkutan kedua-dua negara.
Di Parlimen, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu bahawa Malaysia menerusi Kementerian Luar akan mengeluarkan Nota Bantahan serta-merta kepada Singapura berhubung perlanggaran prinsip hak kedaulatan negara ini kerana negara itu menyiarkan tatacara Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar yang terletak hanya dua kilometer di sempadan negara.

Beliau memberitahu, negara jiran itu dikatakan telah menyiarkan tatacara berkenaan pada 1 Disember lalu dan pelaksanaannya akan dikuatkuasakan pada Januari ini.
Bagaimanapun, jelas Anthony, penyiaran itu dilakukan tanpa kebenaran Malaysia.
“Penyiaran ini bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Penerbangan Sivil Antarabangsa (Konvensyen Chicago) 1944.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Luar akan mengeluarkan Nota Bantahan serta-merta kepada pihak Singapura berhubung perlanggaran prinsip kedaulatan negara tersebut,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kesan kepentingan Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang apabila Singapura merancakkan operasi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Seletar yang terletak dua kilometer dari sempadan negara.
Di Singapura pula, memetik laporan Channel News Asia, Kementerian Pengangkutan negara itu telah mengemukakan protes terhadap kerajaan Malaysia berhubung tindakan menambah had pelabuhan Johor Bahru yang didakwa memasuki kawasan perairan Tuas.
Kementerian tersebut memberitahu, kerajaan Singapura telah meminta Malaysia menghentikan sebarang tindakan lanjut dan mematuhi pemberitahuan gazet ‘untuk mencerminkan kedaulatan Singapura terhadap perairan itu’.
Kementerain itu juga menambah bahawa kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah berulang kali menceroboh ke kawasan perairan Tuas dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.