Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Viu Keong berkata, kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga menyatakan persetujuan agar kerajaan Indonesia menyerahkan Equanimity kepada Malaysia.

Justeru, kata beliau, dakwaan yang menyatakan merampas prosiding negara lain adalah tidak berasas sama sekali.

“Tindakan penahanan kapal Equanimity oleh kerajaan dilakukan secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam undang-undang negara ini.

“Oleh itu, dakwaan tersebut adalah tidak benar. Malah, atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menggunakan bidang kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila kapal itu tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos 2018,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah kebenaran dakwaan peguam Jho Low berhubung tindakan penyitaan terhadap Equanimity adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain. - UTUSAN ONLINE