Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek berkata, kenaikan pangkat dari gred KB19 ke KB22 secara ‘posthumous’ itu berkuatkuasa serta merta.

“Kita rasa dukacita dan terharu dengan pemergian dan pengorbanan serta keberanian Allahyarham yang menjalankan tugas dengan mengenepikan keselamatan diri sehingga cedera dalam tugasan rasmi.

“Justeru, kenaikan pangkat ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu keluarga Allahyarham yang akan menerima pencen,” katanya kepada pemberita selepas selesai upacara pengebumian di Kampung Tebangau Tepi Laut, di sini.

Sementara itu, Mohammad berkata, keluarga Allahyarham juga akan menerima pampasan dan insuran yang berjumlah RM255,756 termasuk khairat kematian.

“Jumlah itu meliputi skim insuran takaful berkelompok sebanyak RM43,000; Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kobopem) berjumlah RM83,000; Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (RM42,000); Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat (RM3,000) dan Pertubuhan Khairat Kematian Bomba Selangor (RM3,000),” katanya.

Selain itu, keluarga Allahyarham juga akan menerima wang pampasan sebanyak RM81,756 daripada Kumpulan Wang Kebajikan Jabatan Perkhidmatan Bomba (KWKB). - UTUSAN ONLINE