Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, terdapat beberapa pihak yang sengaja menzahirkan keresahan bahawa Mara kini telah dipecahkan dan dakwaan itu me­rupakan satu niat jahat yang cuba ditimbulkan untuk menimbulkan kembimbangan masyarakat.

Beliau menegaskan, Mara yang ditubuhkan dengan objektif utama untuk membangunkan usahawan khususnya golongan bumiputera akan terus dipertahankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jika kita lihat Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntu­kan Semula Peruntukan Perbe­lanjaan) 2018 yang telah di­bentangkan dan telah dibahaskan di peringkat dasar semalam adalah jelas per­belanjaan mengurus dan pemba­ngunan Mara adalah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Secara pokoknya Mara tidak dipecahkan atau diracikkan se­perti Yang Berhormat Pontian kata, sekarang Mara di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, perubahan yang dilakukan itu adalah bagi melakukan reformasi dalam agensi penting itu selaras dengan kehendak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ia adalah usaha Perdana Menteri untuk menyatukan beberapa agensi penting ini antaranya Mara bagi mengangkat sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Memandangkan ia merupakan satu kementerian yang baharu diwujudkan sudah tentu ia me­merlukan peruntukan daripada Kementerian Kewa­ngan supaya dapat sempurnakan penyampai­an serta melakukan perancangan seperti yang telah dirangka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, bagi mencapai matlamat asal penubuhan Mara, pengurusan agensi itu perlu dirombak semula kerana hanya golongan profesional dan mempunyai integriti yang tinggi perlu menerajuinya bagi memastikan ia terus diperkasa.