LIEW VUI KEONG
LIEW VUI KEONG 

Sambil menuding jari kepada ahli Dewan Negara yang kebanyakkan dalam kalangan wakil Barisan Nasional (BN), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mendakwa, tindakan itu dibuat semata-mata untuk agenda politik peribadi.

Beliau turut memberitahu, walaupun senator-senator itu mempunyai hak dari segi Perlembagaan untuk berbuat demikian tetapi pemakaiannya telah menjejaskan keutuhan Dewan Rakyat yang mana keanggotaannya dipilih oleh rakyat.

“Kebanyakan senator sekarang yang menentang rang undang-undang tersebut adalah daripada pihak BN dan kini mereka adalah suara majoriti dalam Dewan Negara.

“Sememangnya hal ini jelas menunjukkan bahawa mereka ingin menentang rang undang-undang untuk agenda politik mereka tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Vui Keong, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi punca mereka menanam hasrat melemahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk agenda politik sendiri.

Beliau menegaskan, penggubalan akta itu ketika pentadbiran BN boleh mengekang kebebasan bersuara termasuk pengamal media.

“Keputusan Dewan Negara untuk menolak usul pemansuhan akta itu amat bertentangan dengan semangat majoriti rakyat yang mahu melihat kerajaan baharu dapat melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE