Meskipun Dr. Mahathir sebelum ini pernah menyatakan bahawa majlis tersebut akan dikekalkan selepas tempoh 100 hari, Daim yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, perkara itu akan dibincangkan semula dengan Perdana Menteri.

“Kita akan menghantar cadangan untuk mengukuhkan ekonomi negara yang telah dibuat sepanjang 100 hari ini kepada Dr. Mahathir dan kerajaan akan mengambil alih daripada situ.

“Sama ada fungsi majlis ini akan diteruskan atau tidak, saya akan bertemu beliau nanti untuk bincang. Mandat yang diberikan sebelum ini adalah untuk 100 hari dan 100 hari itu telah tamat.

“Dalam sesetengah kes, mereka bekerja sehingga lebih 12 tengah malam untuk menyiapkan laporan. Semua ahli Majlis Penasihat Kerajaan ini termasuk sekretariat adalah sukarelawan, kini mereka sudah kembali kepada tugas hakiki masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menjadi penasihat ekonomi kekal kepada kerajaan atau tidak, Daim berkata, tiada jawatan yang akan kekal.

“Dalam hidup tiada apa yang kekal selain membayar cukai,” katanya. - UTUSAN ONLINE