Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, saksi-saksi yang dikenal pasti telah dipanggil untuk diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membantu siasatan.

“Setelah lengkap nanti , hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berhubung tindakan yang telah diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut.

Pada awal Nov lepas, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berkaitan maklumat peribadi besar-besaran untuk dijual, melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.

Laman itu turut dilaporkan berkata 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan dalam talian. - BERNAMA