JOHARI ABDUL
JOHARI ABDUL

“Tidak timbul soal menjadi Menteri Besar. Saya dan pimpinan PKR Kedah memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar.

“Saya amat berharap tidak ada pihak yang cuba melaga-lagakan saya dengan Datuk Seri Mukhriz,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Johari dilaporkan lebih berminat untuk menjadi pemimpin di Kedah berbanding memegang jawatan di peringkat Pusat.

Sehubungan itu katanya, tawaran untuk mengosongkan kerusi Parlimen Sungai Petani yang disandangnya bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sentiasa terbuka.

Sementara itu, Johari yang juga ADUN Gurun menjelaskan, isu kononnya beliau lebih layak menjadi Menteri Besar Kedah berbanding Mukhriz timbul setelah ditanya pemberita ketika di Parlimen.

“Saya ditanya apakah sebab saya menawarkan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada Datuk Seri Anwar?

“Saya jawab saya dengan rela dan senang hati ingin menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada beliau jika beliau berminat untuk bertanding di situ.

“Saya menyambung dan menyatakan “I can do wonders if he becomes the Prime Minister from Sungai Petani.”

“Apa yang saya maksudkan ialah dengan beliau menjadi Perdana Menteri dari Sungai Petani, saya akan menggunakan hubungan baik dengan beliau untuk memajukan DUN Gurun yang saya juga merupakan ADUN kawasan tersebut dan sudah tentu Sungai Petani yang pernah saya wakili,” katanya.- UTUSAN ONLINE