AZALINA OTHMAN SAID
AZALINA OTHMAN SAID

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, undang-undang yang digubal seperti Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 adalah bertujuan untuk melindungi rakyat.

“Jangan ambil kesempatan sebab ada kuasa majoriti, jangan lanyak sahaja.

“Kalau kata undang-undang ini zalim, jangan marahkan nyamuk bakar kelambu, kita kena fikir undang-undang yang dibuat adalah untuk melindungi rakyat kerana di luar sana ada negara yang rakyatnya berperang kerana berita palsu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang tersebut yang bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan diluluskan pada 2 April 2018.

Menerusi rang undang-undang itu, ia mentafsirkan berita tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio, adalah palsu.

Walau bagaimanapun kerajaan PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk menghapuskan rang undang-undang tersebut kerana disifatkan sebagai zalim - UTUSAN ONLINE