Noh Omar
Noh Omar

Beberapa wakil pembangkang termasuk Datuk Seri Hamzah Zainuddin (BN-Larut) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) meminta Guan Eng menarik balik perkataan tersebut yang digunakan bagi menjelaskan isu bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang tidak dipulangkan kepada pihak yang membuat tuntutan.

Perkataan ‘dirompak’ itu disebut oleh Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 semalam dan diulangi dalam sidang hari ini.

Malah, beliau mendakwa, wang tersebut telah digunakan kerana dianggap sebagai hasil oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN).

“Saya berharap Yang Berhormat tahu betapa seriusnya perkara ini. Ini (wang) bukan untuk tahun 2016, 2017 atau 2018 demi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ini berlaku sejak 2015, 2016 dan 2017.

“Jelas sekali wang ini telah dirompak kerajaan lama daripada wang pembayar cukai GST kerana ini merupakan wang mereka,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ketika mencelah penggulungan tersebut meminta Guan Eng memperjelaskan tentang dakwaan bahawa wang tersebut hilang.

Hamzah seterusnya bangkit mencelah serta meminta Guan Eng menarik balik perkataan tersebut bagi mengelakkan timbul kekeliruan berhubung isu berkenaan.

“Saya minta perbetulkan perkataan dirompak itu supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya.

Sementara itu, Noh mendakwa, Guan Eng telah melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu membuat sangkaan jahat kepada ahli Parlimen.

“Dia seolah-olah menu­duh Yang Berhormat Pekan iaitu Menteri Kewangan pada waktu itu merompak duit, jadi tidak boleh ada sangkaan jahat kepada ahli dewan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memberitahu, hal yang diperkatakan Guan Eng tidak berniat jahat kerana ia berdasarkan fakta keputusan berdasarkan audit dalaman yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Maka, ini bukan sangkaan jahat. Ini adalah keputusan saya, boleh baca Peraturan Mesyuarat 43,” ujarnya.