Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996 antara lain bersetuju menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kata beliau, memperakukan ajaran Islam selain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah de­ngan hukum syarak dan undang-undang Islam.

“Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini disusuli dengan fatwa pengharaman Syiah di 13 negeri di Malaysia dan diwartakan serta boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pengikut Syiah.

“Dengan demi­kian, penyeba­ran apa-apa selain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang,” katanya da­lam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menja­wab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kerajaan menyatakan usaha kerajaan menyekat ajaran Syiah di negara ini.

Menjawab soalan tambahan Ismail yang mahu mengetahui pandangan kerajaan mengenai kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap penangkapan 50 penganut Syiah di Kelantan, Mujahid berkata, kerajaan sedia mendengar pandangan dan pendapat pelbagai pihak termasuk Suhakam.

Namun katanya, apa yang lebih penting adalah tindakan dilakukan itu selagi tidak me­nyalahi undang-undang maka kerajaan akan mempertahankan yang dikuatkuasakan di negara ini.

“Mungkin apa yang perlu dibin­cangkan di sini adalah beberapa perdebatan me­ngenai Artikel 11 iaitu kebebasan untuk beragama, cuma dengan kaveat 11(4), tidak boleh promosi, itu isunya yang mungkin jadi perdebatan,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap cadangan Peguam Negara, Tommy Thomas agar pengharaman empat buku tulisan novelis, Faisal Tehrani didakwa berunsurkan Syiah ditarik balik, Mujahid berkata, beliau belum meneliti sama ada perkara tersebut adalah cadangan atau pandangan biasa.

“Sebagaimana saya kata, semua pihak berhak memberi pandangan tetapi akhirnya yang akan tentukan ialah perunda­ngan negara dan prinsip-prinsip yang telah diputuskan,” katanya.