Jho Low dalam kenyataan dikeluarkan menerusi peguam beliau berkata, kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini bersedia membayar kos penyelenggaraan Equanimity sementara menunggu prosiding mahkamah selesai.

Bagaimanapun dakwa beliau, Dr. Mahathir telah ‘membawa’ kapal itu secara ‘haram’ ke negara ini.

“Helah publisiti bermotif politik beliau bagi memulihkan imej rejimnya itu ternyata memakan diri.

“Beliau kini sedar kos selenggara kapal layar itu mencecah jutaan ringgit. Jadi satu-satunya pilihan yang beliau ada ialah melelong kapal itu secara paksa dan sudah tentu pada pengurangan harga yang besar,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi portal berita FMT di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jho Low berkata, beliau hampir pasti bidaan bakal diterima adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran yang berpatutan untuk kapal layar itu.

Semalam 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan kerajaan Malaysia dilaporkan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menjual kapal layar mewah itu sama ada melalui lelongan awam atau persetujuan secara formal antara dua pihak.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk menjual Equanimity disebabkan kos yang perlu dibelanjakan adalah kira-kira sebanyak RM2 juta sebulan hanya untuk penyelenggaraan bagi memastikan kapal itu berada dalam keadaan terbaik.

Malah Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan, kapal tersebut masih boleh dijual dalam satu proses yang telus antara tempoh tiga hingga empat bulan walaupun proses perundangan mengenai skandal itu berjalan. - UTUSAN ONLINE