Mohamed Hanipa

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata,usul ter­sebut perlu dibawa kembali dalam tempoh tidak kurang daripada setahun untuk kelulusan, se­pertimana termaktub di bawah Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah pasti, kami perlu membentangkan usul itu di Dewan Rakyat tetapi kami juga perlu menunggu arahan daripada pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri.

“Ketika ini, Akta Antiberita Ti­dak Benar 2018 masih berkuat kuasa dan terpulang kepada pihak berkuasa sama ada mahu melaksanakan akta itu atau sebaliknya.

“Pendirian Pakatan Harapan (PH) amat jelas iaitu mahu memansuhkannya, jadi saya berpendapat kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap ma­na-mana pihak berdasarkan akta tersebut,” katanya di ba­ngunan Parlimen ha­ri ini.

Terdahulu, Dewan Negara menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antibe­rita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua.

Keputusan menolak­ pemansuhan rang un­dang-undang itu dibuat hasil undi belah bagian oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Undi belah bagian tersebut me­nunjukkan 28 ahli dewan menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Undi belah bagian itu diusul­kan Senator Khairul Azwan Harun sejurus selepas Mohamed Hanipa selesai menggulungkan rang undang-undang berkenaan pada bacaan kali kedua.

Usul tersebut kemudian dipersetujui Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran mengikut Peraturan Dewan Negara 45(4) selepas mendapat sokongan lebih daripada lapan Senator Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa menyifatkan bahawa tindakan beberapa senator menolak usul pemansuhan rang undang-undang tersebut sebagai cubaan memalukan kerajaan PH.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak ‘makan hati’ dengan perbuatan itu ekoran keputusan tersebut adalah hak mereka dan perkara itu tidak menjadi satu masalah kerana rang undang-undang berkenaan bukan ‘keperluan mendesak’ seperti rang undang-undang lain yang melibatkan kewangan.

“Sudah tentu kami mahu me­mansuhkannya tetapi me­-
man­dang­­kan mereka (senator) mahu me­lambatkan proses ber­kenaan, jadi itu terpulang kepada mereka. Saya hanya mahu memberi mesej kepada semua Senator BN bahawa rak­yat sedang melihat semua perkara ini, jadi berwas­padalah,” katanya.

Sementara itu Vigneswaran ketika ditemui berkata, ini bukan merupakan kali pertama Dewan Negara menolak sesuatu usul yang dibawa oleh kerajaan.

Ini kerana katanya, perkara sama pernah berlaku pada 2004 melibatkan pindaan terhadap Rang Undang-undang Racun Makhluk Perosak.

Justeru katanya, tidak timbul persoalan terdapat unsur sabotaj dalam keputusan untuk menolak sesuatu usul rang undang-undang.

“Ini merupakan kali kedua Dewan Negara menolak usul. Sebelum ini pindaan Rang Undang-undang Racun Makhluk Perosak, kemudian dibawa semula ke Dewan Rakyat dan selepas itu diper­kenankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.