AB. AZIZ KAPRAWI
AB. AZIZ KAPRAWI

Rang Undang-Undang itu diluluskan tanpa pindaan, selepas dibahaskan oleh 14 Senator.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi ketika menggulung Rang Undang-Undang berkenaan berkata, caj pengawal seliaan terhadap penumpang di setiap lapangan terbang pada harga maksimum RM1 itu bagi memastikan aspek ekonomi dan keselamatan pengguna dipenuhi oleh penyediaan perkhidmatan penerbangan.

“Pelaksanaan pungutan caj pengawal seliaan ini bakal dikutip melalui syarikat penerbangan yang akan dimasukkan dalam dalam tiket penerbangan.

“Rang undang-undang ini juga membolehkan Mavcom mengeluarkan garis panduan, pekeli­ling, arahan, nota amalan atau notis bagi memudahkan amalan terbaik dalam jangka masa yang lebih singkat,” katanya.

Sementara itu, Ab. Aziz memberitahu, Mavcom dijangka mampu mengutip sehingga RM26 juta sekiranya caj tersebut dilaksanakan pada 1 Mac tahun hadapan untuk tempoh sembilan bulan.

Katanya, jumlah itu berdasarkan anggaran penum­pang pada tahun yang sama, sekali gus mampu menampung kos operasi Mavcom.

Dalam persi­da­ngan yang sa­ma, Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017 turut diluluskan secara sebulat suara oleh para Senator.

Kelulusan tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S.A. Vigneswaran pada pukul 7.55 malam selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib.

“Sistem insu­rans ini mem­boleh­kan para pe­kerja yang hilang pekerjaan akan diberikan latihan untuk kembali ke alam pekerjaan termasuk golongan yang berusia antara 40 hingga 50 tahun,” jelasnya dalam sesi penggulungan rang undang-undang berkenaan di Dewan Negara, hari ini.