Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan Bangladesh mencadangkan supaya hospital tersebut dapat terus beroperasi sehingga 2012 namun kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan cadangan itu terlebih dahulu dengan turut mengambil kira kesan ke atas pelarian Rohingya.

“Kerajaan meletakkan komitmen tinggi bagi operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazaar, ini terbukti dengan persetujuan kerajaan untuk melanjutkan pengoperasiannya sehingga 31 Disember 2019.

“Timbalan Menteri saya (Liew Chin Tong) sendiri telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Bangladesh untuk menilai sendiri keadaan pengoperasiaan serta berbincang dengan kepimpinan tertinggi berkenaan hala tuju hospital berkenaan. Kepimpinan Bangladesh menyambut baik sumbangan hospital Hospital Medan Malaysia dan mencadangkan agar ia terus beroperasi hingga 2021,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin mengetahui keberkesanan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazaar.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, semenjak memulakan operasi pada November 2017, Hospital Medan Malaysia yang mempunyai kapasiti 50 katil dengan kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) itu telah memberikan rawatan kepada kira-kira 74,103 kes.

“Hospital ini mempunyai keupayaan penun dalam melaksanakan pembedahan seperti pembedahan am, ortopedik serta perbidanan dan sakit puan. Selain itu, kemudahan rawatan pergigian turut disediakan.

“Pada masa ini, Hospital Medan Malaysia telah dapat memenuhi sebahagian besar keperluan perubatan di kem pelarian dan ia merupakan hospital rujukan di daerah berkenaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE.