Namun, Ketua Penerangan Pemuda UMNO itu dilihat agak kurang menyerlah dalam menyertai sesi perbahasan dalam sidang kali ini.
Wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI mendapatkan penjelasan beliau ketika ditemui di bangunan Parlimen, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Yang Berhormat (YB) merupakan satu-satunya wakil Pemuda UMNO di Dewan Rakyat, namun dalam sidang kali ini YB tidak begitu menyerlah. Mengapa?

MOHD. SHAHAR: Saya berpandangan dakwaan itu wujud mungkin kerana keliru atau mereka tidak mengikuti perkembangan saya dalam media sosial. Saya sebenarnya banyak membangkitkan pelbagai isu antaranya migrasi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ekonomi digital, peluang gaji dan pekerjaan kepada anak muda.

YB Khairy Jamaluddin dilihat lebih banyak bersuara. Adakah Pemuda UMNO masih berharap kepada Khairy sebagai jurucakap walaupun Ahli Parlimen Rembau itu bukan lagi ketua sayap tersebut?

Sebenarnya YB Khairy membawa harapan rakyat Malaysia dan nampaknya imej beliau ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO selama dua penggal masih diingati dalam kalangan anak muda dan masyarakat. Tetapi dalam hal ini, bukan Dewan Rakyat sahaja medium memperjuangkan suara anak muda, kerana pelbagai alternatif lain bertindak sebagai medan untuk membawa suara anak muda di peringkat akar umbi.

Bukan saya tidak ke depan tetapi kena tengok pada isu-isu yang dibangkitkan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), sudah tentu ada kelebihan kepada mereka yang pernah menjadi menteri.

Dalam media sosial juga, ahli-ahli Parlimen muda Pakatan Harapan (PH) seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat lebih ke hadapan berbanding YB. Apa komen YB?

Terpulang kepada pelayar internet dan media sosial kerana sudah pasti keadaan hari ini adalah lebih tertumpu kepada perkara yang sensasi. Kita terbuka dalam media sosial, maka mereka berhak menilai sesuatu dan memerhati apa yang sedang dilihat masyarakat. Apa yang penting kita menyebarkan perkara berkaitan fakta dan rakyat mudah fahami.

Adakah YB masih lagi dalam proses mempelajari peranan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Paya Besar?

Sebagai Ahli Parlimen penggal pertama dan mempunyai tanggungjawab pada parti, sudah tentu saya ambil masa hendak mempelajari sesuatu. Saya tidak boleh bertindak tanpa memahami sistem sedia ada sebab itu saya amat bersetuju jika anak muda diberi peluang.

Berdasarkan pengalaman saya menjadi Ahli Parlimen tidak sampai 100 hari lagi, banyak proses yang perlu dibiasakan dan ia sudah tentu bukan mengambil masa yang pendek. Saya hendak memahami Peraturan Mesyua­rat, gaya berbahas selain menyelami kehendak sebenar rakyat.

Generasi muda hari ini kurang berminat dengan kenyataan politik bersifat retorik. Mereka mahu melihat kata-kata diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit. Pandangan YB?

Bukan generasi muda sahaja, tetapi masyarakat sendiri sudah boleh membuat perbandingan mengenai kerajaan terdahulu dan hari ini. Mereka sedang buat pertimbangan dan kita yakin pertimbangan tersebut berasaskan kesejahteraan rakyat.

Kita mengakui bukan mudah menjadi pembangkang sebab kita kena berusaha membina keyakinan rakyat bahawa selama ini kita melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan negara dan kepentingan rakyat walaupun tidak bersifat popular.