Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru memandangkan ketika ini jawatankuasa khas yang dibentuk untuk mengkaji semula akta tersebut sedang mengadakan perbincangan.

Menurut beliau, segala cada­ngan yang dikemukakan jawatankuasa tersebut akan diputuskan oleh Kabinet.

“Jadi biarlah jawatankuasa khas ini diberi peluang untuk membincangkan perkara ini secara mendalam. Jangan bimbang, kita akan ambil pandangan pihak-pihak berkaitan termasuk mereka yang pernah ditahan di bawah SOSMA,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. S. Ananthan yang i­ngin mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai tahanan SOSMA yang tidak diberikan peluang untuk membela diri melalui proses perundangan de­ngan segera dan bukannya me­nunggu sehingga pemansuhan akta tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memansuhkan SOSMA yang dilihat tidak telus bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, desakan untuk memansuhkan akta itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana dikhuatiri akan memberi implikasi kepada pihak polis yang sedang melakukan penyiasatan.

“Kita juga akan mengambil pandangan pihak polis untuk diteliti kerana mereka juga berhadapan dengan ancaman. Kita tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya SOSMA dimansuhkan secara terburu-buru terutamanya dalam menyelesaikan kes berbahaya di negara ini,” katanya.

Kata beliau, selain SOSMA, jawatankuasa khas tersebut turut membincangkan beberapa aspek antaranya Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 (Pindaan 2013), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencetakan serta hukuman gantung.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Khairul Azwan Harun yang ingin mengetahui langkah diambil untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin memandangkan SOSMA akan dihapuskan, Mohd. Azis berkata, kerajaan sedang mengkaji semua undang-undang berkaitan ke­selamatan.

“Jawatankuasa khas dianggotai wakil Jabatan Peguam Negara, agensi penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk menilai dan memperhalusi setiap peruntukan dalam undang-undang berkenaan dengan lebih terperinci,” katanya.

kan usaha dalam memelihara keselamatan negara daripada pelbagai ancaman termasuk keganasan, rusuhan dan hasutan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mohamad Imran Abd. Hamid yang ingin tahu sama ada SOSMA masih lagi berkuat kuasa atau telah ditangguhkan sehingga pemansuhan dilakukan, Mohd. Azis berkata, pada dasarnya, akta tersebut masih diteruskan kerana tiada arahan memansuhkan akta itu dikeluarkan.

“Selagi tiada pengumuman rasmi mengenai pemberhentian akta ini, ia masih berterusan,” katanya.