Atas rasa tanggungjawab dan prihatin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, HASSAN ABDUL KARIM telah bangkit dalam sidang Dewan Rakyat mahu kawasannya itu diisytiharkan darurat bencana.

Wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI sempat menemuramah Pengerusi PKR Johor itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai tuntutannya itu.

UTUSAN: Boleh ulas mengenai usul tergempar yang dibawa ini?

HASSAN: Alhamdulillah usul membahaskan supaya Pasir Gudang diisytiharkan darurat dibenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Situasi yang berlaku ini berbeza dengan bencana seperti banjir kerana ia melibatkan gas dan ramai murid dan pelajar sekolah menjadi mangsa.

Ramai pelajar sekolah dilaporkan menjadi mangsa, bagaimana Yang Berhormat melihat situasi ini?

HASSAN: Badan saya sahaja di sini, hati di Pasir Gudang. Tak tahanlah saya bila tengok anak-anak sekolah dipangku dan diusung ke hospital. Nak tak nak, saya perlu menunaikan tugas saya di sini, tiada pilihan sebab usul ini sangat pen­ting. Buat masa ini, saya hanya mampu mengarahkan pegawai-pegawai bertugas supaya turun ke lapa­ngan, mengedarkan topeng muka selain melawat mangsa di hospital dan membantu di pusat-pusat sehenti.

Kenapa sukar untuk Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat bencana?

HASSAN: Saya tidak pasti sebab pengisytiharan darurat yang saya minta ini adalah darurat bencana, bukan darurat nasional. Ia tidak melibatkan kawasan lain pun, tidak perlu perintah berkurung malah tak perlu diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kenapa Yang Berhormat bertegas hendak pengisytiharan darurat itu?

HASSAN: Apabila perintah darurat ini ada, Kerajaan Persekutuan mempunyai mandat untuk turun dan membantu. Ya, kerajaan negeri sudah mela­kukan sebaik mungkin tapi Kerajaan Persekutuan ada kepakaran, sumber dana dan pe­nguatkuasaan yang mencukupi.

Selain daripada isytihar darurat, apa lagi Yang Berhormat mahu daripada pihak berwajib?

HASSAN: Kalau tak dijaga boleh jadi bom jangka sebab ada lebih 200 kilang kimia di Pasir Gudang dan dua yang bersaiz besar menjalankan aktiviti petrokimia malah pernah terbakar beberapa tahun lalu.

Saya minta sangat pihak berkuasa, bukan hanya mengambil tindakan terhadap kilang tidak berlesen tetapi memastikan kilang yang berlesen juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kejadian sama tidak lagi berulang.