Tindakan itu dibuat selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) bangkit pada sesi soal jawab lisan dan meminta membawa usul supaya isu itu dibahaskan oleh persidangan DUN.

Bagaimanapun, Zulkefly menolak permohonan itu dengan alasan perkara itu sudah diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Persekutuan.

Mohamad enggan mengalah dan terus berdiri mendesak kerajaan negeri menyatakan pendirian.

Speaker kemudian membuat keputusan muktamad menolak permohonan Mohamad.

Ia mendorong bekas Menteri Besar itu keluar Dewan sebelum diikuti semua ADUN BN.

Bercakap kepada para pemberita di luar Dewan, Mohamad berkata, isu itu masih penting walaupun kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk menolak ratifikasi ICERD.

"Banyak janji telah dibuat tetapi tidak ditepati. Kami mahu usul supaya kerajaan negeri mendesak kerajaan Persekutuan supaya tidak meratifikasi ICERD," katanya.

Jelasnya, jika usul itu diluluskan, ia akan menjadi satu rekod rasmi dan berharap semua DUN di negara ini mengikuti langkah sama.

"Ini sebenarnya akan memberi kekuatan kepada Perdana Menteri menghadapi tentangan masyarakat antarabangsa akibat menolak ratifikasi konvensyen itu," katanya. - UTUSAN ONLINE