Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara berkenaan termasuk dari mana aliran ajaran itu dibawa.

Kata beliau, selain siasatan dilakukan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memantau perkara tersebut.

“Berdasarkan klip video yang disebarkan, ia dilihat tidak menepati syariat Islam seterusnya boleh mengugat akidah. Saya sudah dimaklumkan perkara ini dan ia telah mendapat perhatian daripada JAIP yang mana siasatan turut dilakukan dengan memanggil individu terlibat.

“Kita juga akan siasat dari mana asalnya ajaran tersebut dan setakat ini itu sahaja video yang diterima. Sekiranya ada maklumat lain, kita alu-alukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Pembinaan Jambatan dan Membaik Pulih Pam Air-Projek Mesra Rakyat di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini hari ini.

Klip video berdurasi satu minit 12 saat dan dua lagi berdurasi 22 saat itu didakwa berlaku sebuah kampung di Ulu Tembeling dan dirakam seorang penduduk yang mengikuti aktiviti dilakukan pada 11 Julai lepas.

Video tersebut menyaksikan beberapa jemaah lelaki dan wanita seakan-akan sedang berzikir sambil berdiri dan rukuk di dalam sebuah surau di kampung tersebut. - UTUSAN ONLINE