Sebanyak 39,269 guru di 1,099 buah sekolah di seluruh Perak menerima tablet tersebut yang diagih-agihkan secara berperingkat mulai 5 September lalu hingga 21 September ini.

Dalam ucapannya, Zambry berkata, pemberian tablet tersebut merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan rakyat dengan cara membantu guru-guru menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti.

Menurutnya, pemberian tablet atau peranti itu juga selari dengan kehendak pembelajaran berasaskan teknologi masa kini.

“Saya berharap para guru mengambil kesempatan daripada pemberian peranti ini untuk digunakan dalam pembelajaran seharian mereka.

“Gunakanlah peranti ini untuk memastikan agenda pendidikan nasional mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Ramah Mesra Bersama Pengetua dan Guru Besar serta Pengagihan Tablet Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia kepada Guru di Bawah Kementerian Pendidikan peringkat negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Mat Lazim Idris dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Dalam majlis tersebut, Zambry menyempurnakan gimik pelancaran dengan menyampaikan tablet kepada 21 orang penerima yang mewakili pengetua dan guru besar bagi setiap daerah di Perak.

Tambah Zambry, perisian Tutor Guru serta e-Paper Utusan Malaysia diharap dapat membantu guru mendapat bahan pengajaran yang berkualiti.

“Begitupun, peranti saja tidak mencukupi dalam melahirkan pelajar yang berkualiti tapi juga suasana pembelajaran harus diambil kira.

“Peranti ini hanya alat, tapi yang terkandung di dalamnya paling mustahak untuk para guru melaksanakannya,” katanya.