Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebagai ‘orang lama’, Nafas berpengalaman luas dan memiliki kepakaran selain telah membuat pelaburan besar termasuk mendirikan kilang.

“Bagi saya memang wajarlah (rayuan Nafas) kerana kalau hendak buat perubahan sekalipun, perlu ada tempoh peralihan, lebih-lebih lagi Nafas sudah melabur banyak dalam infrastruktur, kilang, mesin, orang... Kalau berhenti, ‘nayalah’.

“Apa sahaja kerajaan mahu buat, mesti ada tempoh peralihan secukupnya supaya tidak membazir sumber. Nafas orang lama ada kepakaran. Zalimlah kalau henti serta-merta,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli ditemui pemberita selepas turun padang melawat beberapa ladang pertanian di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Repek Telong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Nafas, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi.

Terdahulu selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Repek Telong, Phahrolrazi berkata, tiada lagi dividen untuk dinikmati kira-kira 900,000 petani dan pesawah di bawah PPK seluruh negara pada masa depan, jika Nafas tidak lagi memperoleh tender membekal baja subsidi.

Ini kerana kata beliau, pembekalan baja subsidi merupakan perniagaan teras Nafas selama ini dan keuntungan dijana menerusi perniagaan itulah yang disalurkan kepada ahli dalam bentuk dividen setiap tahun.

Phahrolrazi menyuarakan kebimbangan itu selepas kerajaan dikatakan telah mengiklan panggilan untuk taklimat tender terbuka baja bersubsidi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mustapa bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan memberi tempoh peralihan sekurang-kurangnya lima tahun kepada Nafas untuk mempelbagaikan cabang perniagaan sebelum melaksanakan tender terbuka bekalan baja subsidi. - UTUSAN ONLINE