Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, umum mengetahui Zakir menerima teguran daripada ramai pihak dan beliau telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan bagi negara kita.

"Sebarang usaha dakwah untuk memperkukuhkan kedudukan Islam oleh mana-mana pendakwah sepatutnya tidak menjadi sebarang pertikaian dan dibenarkan selagi menggunakan pendekatan yang berhemah serta tidak melanggar undang-undang negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, PSAP berharap kerajaan bertindak adil dalam menguatkuasakan undang-undang bukan sahaja dalam isu yang melibatkan penceramah antarabangsa itu.

"Isu seperti menggelar Melayu sebagai pendatang, menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam, menghina anggota tentera hanya tahu makan dan tidur dan mengaitkan tulisan Jawi dengan penerbitan buku pornografi juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

"Tindakan undang-undang yang adil,

menyeluruh dan tidak selektif atas isu-isu kontroversi yang melanda negara merupakan harapan seluruh rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE