Ahli Dewan Tertinggi Putra, Prof. Madya Muhammad Yusof berkata, ini kerana Putra berpendapat, Zakir bukanlah seorang pesalah jenayah, bahkan tidak mengancam keselamatan mana-mana negara termasuk India.

Berikut merupakan kenyataan penuh Muhammad:

Tindakan menghantar beliau balik ke India memungkinkan beliau tidak akan mendapat keadilan sewajarnya sekiranya diadili di mahkamah India.

Andaian ini berasaskan kepada tindakan kelompok ekstrimis agama di bawah pengaruh Pertubuhan berfahaman Nasionalis dan Extrimis Hindu (RSS) yang akan memberikan tekanan terhadap kerajaan India supaya mengambil tindakan terhadap Zakir.

Justeru, kebebasan mahkamah dalam membuat penghakiman di India terhadap beliau menjadi keraguan besar.

Kami berpendirian Zakir adalah seorang intelektual Islam yang diiktiraf di seluruh dunia.

Hujah dan syarahannya sangat akademik, berfakta dan tidak menghasut mana-mana agama lain di samping itu, kegagalan Kerajaan India untuk membuktikan Zakir dalam senarai merah Interpol wajar dipersoal akan niat sebenar negara itu untuk mendakwa beliau.

Putra menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak tunduk kepada tekanan Kerajaan India dan menyeru seluruh umat Islam agar bersatu tanpa mengira perbezaan ideologi politik dalam mempertahankan tindakan Kerajaan Malaysia sebagai suatu langkah yang tepat atas prinsip hak asasi manusia. - UTUSAN ONLINE