Sehubungan itu, beliau yang juga Exco kerajaan negeri menggesa Zakir memohon maaf segera kepada rakyat Malaysia seterusnya menghentikan sebarang aktiviti yang boleh mengundang polemik dan menganggu keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Menurutnya, gesaan itu wajar bagi mengurangkan tekanan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian besar rakyat Malaysia yang terkilan dengan kenyataan beliau.

Tambah beliau, sebagai seorang yang menggelar diri sebagai pendakwah, Zakir seharusnya sedar yang mana dakwah harus menjadi satu wadah mendamaikan dan mewujudkan ketenteraman, bukannya medan menerbitkan keresahan dan akhirnya mencetuskan situasi tidak aman.

"Sebagai ‘tetamu’ di negara ini, wajarlah beliau dinasihatkan untuk menghormati dan memahami adab susila masyarakat pelbagai kaum di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama, menurut Afif, pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan yang belum mahu nengekstradisi Zakir ke India harus diterima setiap warga Malaysia.

Katanya, selagi tiada jaminan keselamatan dan perbicaraan yang adil terhadap Zakir oleh pemerintah India, pastinya satu keputusan sukar yang perlu dibuat oleh negara.

"Jalan tengah yang diambil Perdana Menteri adalah pendekatan yang terbaik buat masa ini," katanya. - UTUSAN ONLINE