Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian teguh dan konsisten Dr. Mahathir jelas membuktikan yang keputusan itu dibuat berdasarkan hujah dan bukan didorong oleh sentimen.

Beliau seterusnya memberi jaminan Pas akan terus mempertahankan Dr. Zakir di samping menyeru rakyat menghormati keilmuan pendakwah itu.

"Isu Dr.Zakir membabitkan akademik dan ilmiah, tetapi telah dipolitikkan oleh parti politik dan media contohnya, DAP dan Malaysiakini.

"Memandangkan ini adalah isu akademik, maka ia perlu ditangani secara akademik dan demokrasi, jadi sebab itu kita menggalakkan penganjuran dialog akademik dan bukan dialog politik. Kalau beliau dihantar balik tanpa berdialog itu menandakan kebodohan dan kelemahan kita," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar di kediamannya sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Semalam Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa Dr. Zakir tidak akan dihantar pulang ke India manakala pada awal bulan lalu, beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya tidak membuat sebarang masalah.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, Pas bersedia untuk menganjurkan himpunan mempertahankan Dr. Zakir, jika ada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan himpunan bantahan.

"Pas boleh buat (himpunan), tetapi kita mengambil pendekatan damai dahulu.

"Selain itu, kita juga minta kerajaan siasat siapa yang menimbulkan polemik politik ini. Isu Dr. Zakir tidak menguntungkan Pas, kalau dari segi politiknya yang berlaku dalam ceramah di Kota Bharu, Kelantan, beliau memuji Perdana Menteri sedangkan Dr. Mahathir bukannya daripada parti kita tetapi Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Abdul Hadi juga tidak menolak kemungkinan Dr. Zakir merupakan mangsa persepsi segelintir ahli politik ekstrim yang bimbang melihat orang melayu dan Islam di negara ini bersatu. - UTUSAN ONLINE