Allahyarham berusia 81 tahun. Bekas Ketua Pengarah Arkib Negara itu menghembuskan nafas terakhir pada 12.45 pagi di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Mohamed Nor Ismail, 84, dan tiga orang anak.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Turi, Bukit Bandaraya dan disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar selepas solat Jumaat.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 3 petang.

Allahyarham Zakiah Hanum, wanita serba boleh berasal dari Alor Setar, Kedah, yang terkenal sebagai seorang pentadbir, sejarawan, budayawan dan nasionalis memulakan kerjayanya pada 1961 sebagai Penolong Penyimpan Arkib, Arkib Negara sebelum memegang jawatan Ketua Bahagian Arkib pada tahun sama dan Timbalan Ketua Pengarah pada 1970.

Allahyarham merupakan Ketua Pengarah Arkib Negara sejak 1980 hingga 1995.

Semasa menyandang jawatan itu, Zakiah Hanum menerima Anugerah Ramon Magsaysay pada 1989 setelah mengemudi jabatan itu dengan teknologi profesional tercanggih di seluruh Asia Tenggara.

Semasa hayatnya, Allahyarham Zakiah Hanum telah menubuhkan Memorial Tun Razak, Memorial P. Ramlee dan Memorial Tunku Abdul Rahman yang menjadi antara ikon seni warisan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang berkongsi kesedihan atas kematian ibu saudaranya yang mesra dipanggi Mak Anum berkata, sejak kecil Allahyarham telah banyak mendidiknya mengenai asal-usul dan sejarah Malaysia.

“Saya sangat rapat dengan Mak Anum. Sebagai ketua pengarah Arkib Negara, beliau selalu pesan kepada saya supaya simpan memori atau surat-surat yang diterima kerana satu hari ia akan jadi khazanah dan identiti kita sebagai individu dan negara bangsa,” kata Khairy ketika ditemui pada upacara pengebumian itu. - BERNAMA