Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, beliau agak kecewa kerana dirinya telah ditahan pihak polis hanya kerana mempertikaikan kenyataan Zaid, tetapi sebaliknya ahli DAP itu masih tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Jelasnya, meskipun Zaid seorang pakar perundangan dan mempunyai firma guaman antara yang terbesar di negara ini, tetapi itu tidak bermakna bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kebal daripada undang-undang negara.

“Sultan Sharafuddin bukan ahli politik tetapi merupakan pemerintah negeri. Oleh itu, setiap teguran baginda perlu dipandang positif dan bukannya dibalas secara sombong, ego dan biadab.

“Saya bimbang jika perkara ini tidak ditangani, akan memberi satu mesej kepada rakyat bahawa sesiapa sahaja boleh mengutuk sultan dan institusi diraja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lain menegur Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang menghina masyarakat Bugis.
Lantaran daripada itu, Jamal mengeluarkan kenyataan mahu mengambil tindakan terhadap bekas menteri tersebut, namun ditahan polis pada Sabtu lalu kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap Zaid.

Jamal hari ini dibebaskan daripada tahanan reman tetapi terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Puteri dekat sini kerana sepanjang penahannya beliau hanya tidur di atas simen dan tidak diberikan tilam walaupun mengadu mempunyai masalah sakit belakang.

Sementara itu mengulas mengenai tindakan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali memulangkan dua pingat yang diterima daripada Sultan Selangor bersikap kebudak-budakan.

Katanya, sekiranya benar perkara itu berlaku, ini bermakna Dr. Mahathir sengaja mahu mencetuskan provokasi supaya rakyat membenci Sultan Sela­ngor.

“Tindakan itu seperti mahu menghasut rakyat membenci baginda dan ini akan memecahkan lagi perpaduan rakyat terutamanya orang-orang Melayu,” katanya.