Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Jerai hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi Yayasan Wakaf Malaysia, majlis pelancaran ini merupakan projek perintis Khazanah Wakaf sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Katanya, Khazanah Wakaf yang berkonsepkan rak atau almari bagi menempatkan barang keperluan asas menggunakan Skim Wakaf Tunai dan sumbangan daripada mana-mana pihak yang akan diletakkan di lokasi bersesuaian untuk dimanfaatkan oleh golongan memerlukan.

"Kaedah ini sudah lama dilaksanakan di negara lain seperti di Turki yang dinamakan Imaret dan Indonesia iaitu Dapur Umum bertujuan menyediakan bantuan makanan untuk diagihkan kepada mangsa bencana alam.

"Tujuan Khazanah Wakaf ini juga untuk menggalakkan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat dengan menginfakkan barangan keperluan asas di Khazanah Wakaf yang ditetapkan untuk kegunaan mereka memerlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Khazanah Wakaf di Bangunan UMNO Bahagian Jerai Guar Chempedak di sini hari ini.

Tambah beliau, bantuan tersebut juga akan diberikan meliputi semua kaum tanpa mengira bangsa.

Sementara itu Ahmad Bashah pula berkata, pihaknya menyambut baik usaha YWM menjadikan Kedah sebagai lokasi perintis program berkenaan.

"Dalam usaha menyokong program ini kita merancang untuk memperluaskan program Khazanah Wakaf ini ke seluruh Parlimen negeri ini, " katanya. - UTUSAN ONLINE