Yusnizal yang kudung sebelah tangan bercadang memulakan misinya pada 13 hingga 17 Disember ini.

Dia bukan sahaja mahu membuktikan orang kurang upaya (OKU) adalah serba boleh tetapi menjadikan aktiviti menunggang motosikal sebagai satu gaya hidup sihat dan menjadikan kehidupan lebih menarik.

Selain Yusnizal, tiga penunggang sokongan turut bersama dengannya dalam misi tersebut iaitu jurutera telekomunikasi, Muhamad Azni Mohd. Nasir, 41; pegawai sains sukan, Norazwan Mokhtar, 40, dan pensyarah kanan sebuah institut pengajian tinggi, Noorfaizalfarid Mohd Noor, 39.

Berumur 43 tahun, Yusnizal yang merupakan kakitangan kerajaan di Matrade juga mempunyai hobi dalam sukan lasak seperti paintball, scuba dan free diving.

"Apa yang saya lakukan itu kerana mahu buktikan OKU seperti saya juga boleh menakluk selekoh berbahaya dan mencabar di Thailand sepanjang misi ini.

"Saya yakin dengan sokongan rakan-rakan saya boleh membuktikan kepada dunia tiada apa yang mustahil," katanya kepada Utusan Online.

Dalam misi itu, dia dijangka melalui 1,864 selekoh tajam dan merbahaya yang meliputi kawasan Chiang Mai, Mae Hong Son, Pai, Golden Triangle, Maesai dan kembali ke Chiang Mai. Beliau akan cuba menghabiskan lingkungan laluan tersebut dalam tempoh yang paling singkat.

Sehubungan itu, Yusnizal berharap program yang akan dilaksanakan nanti mendapat perhatian semua pihak termasuk swasta yang sudi menaja bagi menyokong misi tersebut dan membuktikan OKU adalah serba boleh.

Pihak yang berminat menaja misi ini boleh menghubungi Noorfaizalfarid di talian 0195542624. - UTUSAN ONLINE