Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kadar bayaran ujian MUET yang dikenakan untuk setiap pelajar ketika ini adalah sebanyak RM100 dengan RM40 bagi pendaftaran manakala RM60 bagi yuran mata pelajaran.

Di samping itu, katanya, tindakan kerajaan memperkenalkan Ujian MUET On Demand (MOD) bermula tahun lalu bagi pelajar yang tidak berkesempatan menduduki ujian tersebut turut menambahkan bebanan apabila mengenakan yuran sebanyak RM250.

“Nilai RM100 mungkin rendah bagi pelajar yang berkemampuan tetapi, jumlah itu amat besar untuk kalangan B40 dan jika gagal mengikut waktu ujian yang ditetapkan mereka terpaksa pula menduduki Ujian MOD.

“Justeru, kerajaan digesa agar mempertimbangkan semula kadar bayaran yuran khususnya bagi golongan B40 yang secara tidak langsung dapat membantu mereka menduduki ujian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shaharizukirnain memberitahu, yuran MUET pada asalnya cuma sebanyak sebanyak RM60 namun, sejak 2012 kadarnya dinaikkan kepada RM100 malah, bayaran itu langsung tidak dikurangkan sama ada pelajar tersebut daripada golongan B40 atau tidak. - UTUSAN ONLINE