Pengarahnya, Shahirul Amran berkata, produk yang telah diguna pakai di semua sekolah sejak 2011 telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan ke arah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Beliau berkata, FrogVLE atau 'Frog Virtual Learning Environment' yang diwujudkan pada 2011 turut menawarkan pakej permainan kepada murid atau pelajar yang menjawab satu set soalan latihan.

“Ganjaran ini bagi memberi motivasi kepada mereka untuk belajar secara seronok selain membolehkan mereka mengadakan perbincangan seperti berta­nya kepada guru dan rakan-rakan.

“Aplikasi mudah alih pula diwujudkan pada hujung tahun lalu bagi membolehkan guru menjalankan aktiviti pembelajaran dan pemudahcara (PdP) tanpa menggunakan komputer, sebaliknya hanya menerusi tele­fon pintar atau gajet-gajet lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

YTL Communications merupakan antara 130 syarikat yang menjadi pempamer dalam Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di Padang A, Angsana Mall Johor Bahru di sini yang akan berakhir esok.

Sementara itu Shahirul berkata, penglibatan pihaknya dalam festival kali ini agak berbeza iaitu untuk berkongsi maklumat dengan guru-guru dan ibu bapa serta pengunjung lain mengenai perkhidmatan PdP alam maya.

Katanya, konsep kali ini adalah daripada guru kepada guru iaitu guru dari sekolah hab akan mengambil inisiatif membantu berkongsi maklumat mengenai modul latihan dan nota masing-masing dengan menggunakan FrogVLE.

“Kali ini kita bekerjasama de­ngan Jabatan Pendidikan negeri melibatkan 15 kakitangan YTL dan 15 sukarelawan yang terdiri daripada guru-guru,” katanya.