Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Korporat PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman berkata, fasiliti tambahan itu bertujuan menggantikan struktur kayu sebelum ini yang dikhuatiri tidak selamat untuk dihuni.

Katanya, sumbangan itu adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu institusi pondok di negeri ini.

"Kebiasaan sebelum ini kami hanya menyumbang dalam bentuk barang keperluan makanan. Namun kali ini berlainan berbentuk fasiliti dan merupakan kali pertama.

"Kami berharap sumbangan seperti ini akan diteruskan kepada pondok-pondok lain tetapi bergantung kepada pondok yang membuat permohon," katanya selepas majlis perasmian fasiliti tambahan pondok berkenaan di sini hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Sementara itu, wakil pengurusan pondok, Mohamad Munzir Kamarudin ketika ditemui berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak PKINK atas sumbangan lima unit pondok yang menggantikan tiga unit dari binaan kayu sebelum ini.

"Pondok baharu dengan binaan batu ini amat selesa dan dilengkapi dengan barangan elektrik sekaligus memberi kemudahan kepada penghuni.

"Pondok Meheliah kini sudah berusia lebih 60 tahun dan masih ada yang berstruktur kayu dan dikhuatiri berisiko kepada kejadian yang tidak diingini," ujarnya.

Tambahnya, pondok itu dihuni oleh kira-kira 200 orang terdiri daripada pelajar serta golongan asnaf. - UTUSAN ONLINE