Turut dijangka berangkat ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas juga dijangka hadir selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaik sahaja selesai keberangkatan semua raja-raja, satu sesi bergambar akan diadakan di Bilik Istiadat Kecil di istana berkenaan.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah serta raja-raja lain kemudian berangkat masuk ke Dewan Santapan bersama-sama dengan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut berangkat ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Selepas lagu Negaraku dimainkan diikuti oleh lagu kebesaran negeri dan bacaan doa, santapan malam tersebut akan diceriakan dengan persembahan hiburan sebelum majlis dijangka tamat kira-kira pukul 11 malam.