Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah, 45, yang dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh berkata, sekali pun kali pertama dicalonkan, kawasan tersebut sudah sebati dengan dirinya berikutan menjadi pegawai khas kepada penyandang sebelum ini.

‘‘Selama mengikuti Datuk Abu Hasan Sarif sebagai pegawai beliau selama lima tahun, saya sudah maklum dengan keperluan penduduk di kawasan ini.

‘‘Biarpun begitu, saya tidak akan ambil mudah amanah­ yang diberikan dan saya berikrar akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dengan mengutamakan rakyat dalam apa jua isu,’’ katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Kedah di sini, hari ini.

Ahmad Azhar akan bertan­ding di DUN itu menggantikan Abu Hasan yang bakal bertan­ding di DUN Ayer Hitam.

Sementara itu, calon DUN Bayu, Mohd. Noor Mohd. Amin, 45, berkata, beliau yakin faktor anak tempatan dapat memberi kelebihan kepadanya untuk te­rus membela nasib rakyat.

‘‘Antara fokus utama yang akan diberi keutamaan ialah hal berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan di samping memastikan lebih banyak projek berimpak tinggi dibawa masuk untuk manfaat penduduk setempat,’’ jelasnya.

Mohd. Noor berkata, walaupun datang daripada Pemuda, setiap peringkat masyarakat akan disentuh dengan memberi perhatian terhadap hal kebajikan selain membawa lebih ba­nyak peluang untuk golongan muda menjana pendapatan.

‘‘Tiga projek pembangunan telah dibawa dalam kawasan Bayu iaitu hospital pakar, masjid daerah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Baling. Jadi saya harap rakyat akan te­rus memberi mandat kepada BN demi merealisasikan projek berimpak tinggi ini,’’ katanya.