Menurut Izreen, dia telah pun bernikah secara sah dengan Mohammad Radzi Abdul Wahid yang mesra dipanggil Ude, pada 8 Ogos lalu di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

"Dengan hanya sekali lafaz saya sah menjadi isteri kedua Ude. Saya harap penjelasan ini akan menamatkan segala spekulasi yang dibuat terhadap diri saya ketika ini," katanya kepada Utusan Online ketika ditemui kelmarin.

Menurut Izreen dia bersyukur kerana majlis pernikahannya mendapat restu seluruh keluarga, malah wali pernikahan adalah bapanya sendiri, Mohd Aznam Mohd Noor.

Seperti pasangan suami isteri lain, Izreen berharap agar jodoh keduanya ini kekal sehingga ke hujung nyawa.

Malah, dia juga berjanji untuk memberi sokongan kepada suami dalam menjalani kehidupan berpoligami.

Pelakon ini juga menjelaskan bahawa pada 7 Disember ini tidak akan berlangsung sebarang acara sidang akhbar penjelasan mengenai status dirinya sepertimana dihebohkan di media sebelum ini.

"Semua sudah terjawab dan sekarang pihak media serta kawan-kawan sudah pun tahu mengenai status sebenar hubungan saya dan Ude. Jadi, tidak ada lagi sebarang majlis atau sidang akhbar akan kami lakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE