Perkara itu merupakan antara langkah dipersetujui serta dicadangkan oleh peserta bengkel strategik dalam Dialog Antara Agama di Asia Sela­tan dan Tenggara yang terdiri dalam kala­ngan pemimpin agama, pembuat polisi dan wakil kerajaan di Bangkok, Thailand.

Pengerusi Eksekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, cadangan itu diuta­rakan oleh para peserta sebagai salah satu langkah yang boleh diambil bagi mendepani cabaran komuniti keagamaan di rantau berkenaan.

Katanya, berdasarkan penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang agama itu, ba­nyak pandangan diutarakan tetapi cabaran yang dihadapi setiap negara di rantau tersebut adalah serupa.

“Kecenderungan untuk isu-isu keagamaan merebak dari satu negara ke negara lain yang menjadi indikasi kepada lumrah agama yang tidak mempu­nyai sempadan.

“Antara contoh ca­­baran yang diketengahkan meliputi salah faham terhadap agama, mempolitikkan agama, perkembangan gerakan radikal serta ekstremis, penyalahgunaan media termasuklah media sosial mengenai bagaimana agama dilihat dalam kalangan masyarakat, pe­­minggiran dan ketidakadilan sosioekonomi,” katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Bengkel yang berlangsung tiga hari bermula Isnin lalu dianjurkan dengan inisiatif Pusat Antarabangsa Interaktif dan Interbudaya Antarabangsa Raja Abdullah bin Abdulaziz (KAICIID), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Antara Keagamaan Thailand, Institut Hak Asasi Manusia dan Kajian Keamanan Universiti Mahidol serta Universiti Fatoni.

Menurut Nasharudin, cada­ngan lain yang disuarakan oleh peserta bengkel meliputi menggalakkan organisasi antara agama dan berasaskan kepercayaan termasuklah pemimpin keagamaan serta tradisional untuk mempromosikan dialog antara agama yang lebih besar bertujuan mengekalkan keamanan, keharmonian selain pem­bangunan di kedua-dua rantau itu.

Katanya, bengkel tersebut menyeru supaya pembangunan aktiviti membina kapasiti terma­suklah meningkatkan kesedaran serta program latihan yang direka bentuk.

“Cadangan lain termasuklah terlibat secara positif ke arah pembangunan serta pengukuhan polisi-polisi dan rangka kerja ins­titusi untuk mempromosikan penyelarasan tempatan, kebangsaan dan serantau.

“Selain itu, para peserta bengkel menggalakkan kaedah terbaik di seluruh rantau ini untuk me­ningkatkan kepercayaan antara agama,” jelas beliau.

Ujar Nasharudin lagi, bengkel itu juga menggalakkan usaha ke arah kerjasama dan persefahaman untuk meningkatkan perkongsian dalam kalangan organisasi antara agama dan ber­asaskan kepercayaan, termasuklah pemimpin keagamaan serta tradisional dengan pembuat polisi di rantau ini.