Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sebagai contoh jadual bayaran semula pinjaman perlu distruktur semula dengan memberi sedikit kelonggaran peminjam.

“Peminjam juga perlu bertanggungjawab membayar semula kerana jika gagal berbuat demikian akan memberi kesan kepada peminjam PTPTN baharu. Janganlah pula sampai terus tidak bayar (jika pinjaman distruktur semula).

“Sebagai peminjam kita perlu punya sikap patriotik kepada negara. Menerusi mekanisme baharu PTPTN akan memperoleh bayaran dan peminjan juga akan melakukan pembayaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Saannah Hill Resort di Ulu Tiram di sini malam tadi.

Baru-baru ini, isu melibatkan PTPTN kembali menjadi polemik apabila terdapat pihak yang mencadangkan agar kerajaan mengenakan sekatan semula perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang culas membayar pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dalam sidang akhbarnya semalam meminta masyarakat menyalurkan segala pandangan dan maklum balas mereka mengenai PTPTN melalui Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang disediakan di laman web rasmi agensi itu.

Menurut Wan Saiful, tindakan orang ramai yang hanya menggunakan medium media sosial untuk memberi respon berkaitan perkara itu bukan hanya merugikan mereka tetapi juga pihak PTPTN sendiri.

Aminolhuda berkata, cadangan penstrukturan semula itu adalah selepas mengambil kira keadaan peminjan PTPTN yang kadang-kadang selepas tamat universiti masih belum mendapat kerja.

“Begitu juga keadaan ekonomi yang kurang baik, ini beri kesan kepada peminjan untuk membayar balik pinjaman PTPTN,” katanya. - UTUSAN ONLINE