Akta tersebut dicadangkan selepas melihat kepada senario semasa apabila wujud golongan tidak takut menghina Yang di-Pertuan Agong secara terbuka dalam platform media sosial seperti dilakukan pemilik akaun Desmond Yongkor.

Menurut Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, dua bahagian paling utama dalam akta baharu itu adalah tahanan tanpa bicara dan boleh didakwa di mahkamah secara terbuka sebagai kesalahan jenayah.

Katanya, tindakan-tindakan tersebut perlu dikenakan terhadap golongan yang biadab, kurang ajar dan menggangu gugat keharmonian negara seperti menghina Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negara ini.

“Jika penghinaan dan cercaan yang biadab terhadap Islam, kedaulatan raja-raja Melayu serta cabaran mengganggu gugat fasal 153 Perlembagaan Persekutuan tidak ditangani, dibimbangi membawa kepada ketegangan dan pertelingkahan antara kaum,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mengenai tindakan pemilik akaun Facebook, Desmond Yongkor yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan memuat naik poster mempersenda Seri Paduka, Nasrul Ali Hasan memberitahu, pihaknya telah pun membuat laporan polis semalam.

Menurut beliau, penghinaan dibuat pemilik akaun laman sosial itu bukanlah yang pertama kerana sebelum ini pernah dikaitkan dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam dalam Facebook.

“Sebagai pertubuhan yang memperjuangkan Islam, institusi raja-raja Melayu serta hak keistimewaan orang Melayu, Perkasa menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap pemilik akaun Desmond Yongkor dan sesiapa sahaja yang berniat khianat dengan mempersendakan Yang di-Pertuan Agong,” tegas beliau. - UTUSAN ONLINE