Malah, World #QuranHour turut menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang, ideologi mahupun fahaman politik dan pemimpin atau pun rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, program itu berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dengan kesungguhan menjadikan ia sebagai acara tahunan.

“Walaupun hanya sejam yang diluangkan bagi menjayakan program itu, ia tetap memberi makna kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki kuasa untuk menundukkan hati yang keras.

“Selain itu, World #QuranHour juga secara tidak langsung menggambarkan semangat kita untuk bersama-sama menyebarkan syiar Islam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu Dr. Ismail bersama-sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam negeri, Shahizan Affandi Zakaria menyertai kira-kira 250 orang peserta membaca surah al-Kahfi sempena World #QuranHour di Masjid Zahir, di sini.

World #QuranHour pada tahun ini bertemakan Solusi Cabaran Sejagat hasil inisiatif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bagi membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia untuk berada di bawah naungan al-Quran.

Program tahun ini juga adalah pertama kali diadakan secara serentak bersama perpustakaan awam negeri di seluruh negara yang antara lain bertujuan menggalakan orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.

Dalam program sama, Perbadanan Perpustakaan Awam negeri turut menampilkan empat penulis buku Siri Bercakap Dengan Cermin bagi menjayakan segmen bicara buku. - UTUSAN ONLINE