Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memberitahu, langkah itu dibuat selepas menerima maklumat tentang rancangan lawatan Osman itu dari agensi penguatkuasaan.

Ketika dihubungi jelasnya, Osman sudah pun berada di atas sebuah kapal menuju ke Pelabuhan Johor yang mana tindakan itu mengakibatkan Wisma Putra menerima satu nota diplomatik dari Singapura bertarikh 11 Januari lalu.

“Pihak kita bimbang dengan lawatan seumpama itu menjadi satu tindakan tidak produktif (counter-productive) selepas hasil yang positif dan konstruktif pada mesyuarat dua hala antara Menteri Luar dan rakan sejawatnya dari Singapura sehari sebelum itu.

“Pada 8 Januari lalu, kedua-dua menteri bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan hal-hal perundangan dan operasi dalam usaha meredakan keadaan dan menyediakan asas perbincangan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Pejabat Kementerian Luar Singapura baru-baru ini mengumumkan hasrat menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung hari ini, susulan dakwaan pencebohan kapal dinaiki Osman ke perairan republik itu oleh sebuah portal berita negara jiran tersebut.

Sebelum itu Osman menegaskan tidak menceroboh perairan Singapura Rabu lalu sebaliknya mahu melawat kawasan perairan negeri ini dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan Johor.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pihaknya akan menumpukan usahanya terhadap kumpulan kerja berkenaan dan mahu menganjurkan mesyuarat pertama pada hujung bulan ini.

“Ini adalah komitmen dalam mempertingkatkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura berdasarkan nilai kesamarataan dan saling menghormati,” katanya. - UTUSAN ONLINE