Pembelian tersebut termasuk sebuah AW119Kx, sebuah AW109 Grandnew, serta sebuah AW169 dibeli daripada Finmeccanica-Agustawestland (AgustaWestland) manakala sebuah S-76D VIP daripada Sikorsky.

Selain itu, Weststar turut menerima sebuah helikopter AW189 sekali gus bakal menjadi syarikat pertama yang mengoperasikan helikopter tersebut di rantau ini.

Perjanjian pembelian tiga helikopter AgustaWestland tersebut ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dengan Pengarah Urusan AgustaWestland Malaysia Sdn. Bhd., Vincenzo Alaimo pada satu majlis sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di sini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Syed Azman berkata, syarikat itu berbangga dapat menetapkan penanda aras baharu dalam kualiti untuk sektor penerbangan eksekutif dan korporat di dalam dan luar negara.

Katanya, pasaran perkhidmatan helikopter kian meningkat dan pihaknya berharap dapat melipatgandakan penglibatan mereka dalam perkhidmatan tersebut melalui penambahan helikopter berkenaan.

“Ketika ini dalam segmen pengangkutan korporat, helikopter seperti ini mendapat permintaan tinggi. Jadi, ini adalah satu langkah tepat bagi Weststar untuk membeli helikopter-helikopter ini,” katanya.

Keempat-empat helikopter tersebut yang berenjin tunggal dan berkembar merupakan antara helikopter terbaik untuk digunakan golongan korporat berikutan piawaian keselamatan tinggi dan selesa.