Dalam lawatan itu, mereka turut diperlihatkan khemah penginapan, laluan terowong yang bakal digunakan jemaah haji semasa melakukan aktiviti melontar di tiga jamrah di situ.

Selain itu juga dalam sesi lawatan ini, jemaah telah dibawa menaiki bukit Jabal Rahmah, iaitu satu daripada bukit yang terdapat di Padang Arafah.

Di Jabal Rahmah ini, menyaksikan kisah pertemuan Nabi Adam dan Hawa di mana maksud ‘Jabal’ adalah bukit, manakala ‘Rahmah’ adalah kasih sayang.

Wartawan dapat menghayati pengertian daripada lawatan tersebut dan memahami bahawa Jabal Rahmah merupakan bukit berbatu di bahagian timur Padang Arafah ini yang telah menjadi saksi abadi dalam sejarah pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa, ratusan tahun terpisah selepas diturunkan dari syurga.

Arafah itu sendiri adalah simbol suci satu ritual perjalanan rohani kepada Allah SWT.

Pada sesi lawatan itu, wartawan telah melalui kawasan Mina, iaitu sebuah perkampungan’ yang terletak sejauh tujuh kilometer dari Mekah. Di sinilah, terdapat khemah penginapan jemaah haji dan akan beroperasi apabila jemaah mula bergerak menjelang hari wukuf nanti.

Malah kawasan Arafah yang akan dihadiri jutaan jemaah haji seluruh dunia itu akan mula dihuni pada 9 Zulhijjah bagi melakukan rukun haji yang terpenting.

Di sebelah utaranya ini terletaknya Jabal Rahmah yang dahulunya Rasulullah SAW pernah berkhutbah di hadapan umat Islam bagi menerangkan urusan agama mereka semasa Hijrah al Wada’ pada tahun ke 10 hijrah.

Kisah itu pastinya akan mendatangkan keinsafan kepada jemaah haji Malaysia apabila mereka berada di sini kelak dan menghayati peristiwa tersebut, di mana sewaktu baginda Rasulullah SAW berada di bukit inilah, diturunkan wahyu kepada Baginda SAW:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kami”. (Surah Al Maidah ayat ke-3).

Selain sesi lawatan itu, laluan ke Muzdalifah turut ditunjukkan terletaknya kawasan di antara Arafah dan Mina, melainkan Wadi Muhassir iaitu kawasan Lembah Tentera Abrahah dibinasakan.

Dinyatakan bahawa, disunatkan bagi orang yang menunaikan haji mempercepatkan jalannya di Wadi Muhassir dan dalam perjalanan tersebut disunatkan perbanyakkan zikir.

Apa yang pasti, jemaah haji Malaysia yang berada di khemah penginapan di Mina serta Padang Arafah ini, hendaklah memperbanyakkan doa semoga semua ibadah haji yang akan dilaksanakan itu dipermudahkan oleh Allah SWT. – UTUSAN