Jika sebelum ini kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui, kini terdapat beberapa pemimpin PH dikaitkan dengan isu sama.

Terbaru, beberapa pengguna Twitter mempersoalkan sijil yang dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.

Sambil berkongsi biodata milik Zuraidah, pengguna Twitter yang menggunakan nama Don Juan deRyezal mempersoalkan bagaimana nama Naib Presiden PKR itu tiada dalam carian di universiti seperti dipaparkan dalam ruangan biodatanya.

“Assalamualaikum YBM @zuraida_my. Kami gagal menemui carian nama YBM di National University of Singapore. Mungkin tercicir agaknya?,” tulisnya.

Dalam pada itu, pemilik akaun, Ismet Ulam Raja pula berkongsi biodata Guan Eng dan mengajak warganet menyiasat kesahihan kelulusan akademiknya.

“Hmm.... ‘since’ timbalan menteri pakatan ni tipu kelulusan akademik apa kata kita periksa yang lain-lain. 

“Betul ke @guanenglim ini akauntan bertauliah? Kenapa nama Menteri Kewangan Malaysia tiada dalam daftar akauntan bertauliah? Tapi dia kata dia akauntan bertauliah,” tulisnya. - UTUSAN ONLINE -