Apatah lagi ketika mendapatkan rawatan di hospital, dia dimaklumkan perlu menjalani pembedahan tulang belakang segera bagi mengelak masalah kesihatannya menjadi lebih serius dengan kos kira-kira RM16,780 iaitu jumlah yang jauh daripada kemampuannya.

Namun, ketika Maznah sudah berputus harapan untuk mencari wang apatah lagi dalam keadaan suaminya, Mohd. Ali Mustafa, 66, yang tidak lagi bekerja, dia menerima khabar gembira selepas dimaklumkan layak menerima manfaat di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Menerusi skim yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan itu, Maznah akhirnya selamat menjalani pembedahan bagi merawat masalah saraf dan sakit tulang belakangnya pada 19 Jun lalu dan kini sedang mendapatkan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Menurut Maznah, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mendapat manfaat daripada skim PeKa B40 itu yang membiayai kos pembedahannya di hospital sebanyak RM10,500 manakala bakinya menerusi bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

"Jika tidak kerana bantuan daripada skim PeKa B40 ini, sudah pasti saya terpaksa menanggung kesakitan akibat masalah saraf dan tulang belakang ini dalam tempoh yang lebih lama," katanya.

Maznah ditemui pemberita selepas menerima kunjungan wakil Protect Health Corporation Sdn. Bhd. (Protect Health Corporation) iaitu syarikat yang mengendalikan skim terbabit di rumahnya di Kampung Baru, Bagan Dalam, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat Protect Health Corporation, Khairul Faizi Dalaiil berkata, skim PeKa B40 kini sudah mengeluarkan manfaat sebanyak RM1.7 juta bagi membantu pesakit golongan berpendapatan rendah di seluruh negara sejak dilancarkan 15 April lalu.

Katanya, inisiatif yang disediakan secara percuma kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas itu bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan kurang berkemampuan dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Manfaat yang ada menerusi skim ini adalah saringan kesihatan percuma di klinik swasta, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser sebanyak RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000,” katanya.

Menurutnya, sehingga 15 Ogos lalu, sebanyak 1,310 klinik dan 844 Klinik Kesihatan didaftarkan sebagai Klinik PeKa B40 manakala seramai 48,416 penerima PeKa B40 direkodkan mendapatkan saringan kesihatan percuma di klinik-klinik berkenaan. - UTUSAN ONLINE