Baginda yang juga Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut menzahirkan rasa syukur kerana proses perubahan geopolitik negara baru-baru ini, berlaku secara aman dan tanpa sebarang insiden yang mengancam kedaulatan negara

“Oleh itu, setiap warga ATM harus sentiasa bersiap sedia untuk melakukan perubahan dengan mengambil kira situasi yang sedang berlaku di persekitaran kita.

“Harus diingat, selain mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, ATM juga berperanan untuk memastikan kemajuan negara sentiasa diutamakan dan sedia membantu untuk mencapainya,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah 2018 di Kem Bukit Keteri di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua ke majlis yang bertemakan ‘Retro Aidilfitri’ itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Panglima 30 Briged Tentera Darat, Brig. Jen. Hashim Aman Shah.

Turut diundang hadir ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, rakan-rakan strategik rejimen termasuklah para pegawai kanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, sektor korporat dan swasta serta pengamal media.

Baginda seterusnya bertitah, pengorbanan para anggota tentera dahulu dan kini tiada tolok gantinya dan seharusnya dihargai tidak kira sama ada mereka bertugas di perbatasan mahu pun di dalam negeri.

“Sesungguhnya setiap warga ATM merupakan penyumbang utama terhadap komitmen ini,” titah baginda.

Di akhir majlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen berkenan mengurniakan duit raya kepada kanak-kanak dalam kalangan ahli keluarga warga rejimen yang hadir. - UTUSAN ONLINE