Allahyarham yang baru me­nyam­but ulang tahun kelahirannya yang ke-121 pada 12 April lalu meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 petang ini di sisi dua orang anak dan seorang cucunya.

Cucunya, Zaini Noh, 44, berkata, neneknya itu meninggal dunia akibat sakit tua selepas terlantar dan tiada selera makan sejak dua minggu lalu.

“Sebelum jatuh sakit, nenek masih boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri malah dia masih mampu mandi sendiri tanpa perlu dibantu.

“Cuma sejak dua minggu lalu, dia tidak larat lagi untuk berjalan dan hanya terlantar di katil kerana sakit tua dan disebabkan keada­annya itu dia tiada lagi selera makan selain kurang bercakap.

“Sebelum tok jatuh sakit, dia begitu berselera menjamah nasi berlaukkan kari kepala ikan yang me­rupakan makanan kegemarannya selama ini,” kata Zaini di sini hari ini.

Jenazah Puan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Empat, Kampung Bendahara di sini.

Wanita yang lahir pada abad ke-19 itu mempunyai empat orang anak berusia antara 65 hingga 90 tahun selain 19 orang cucu, 60 cicit dan seorang piut.

Kisah warga emas yang dilahirkan pada tahun 1896 itu pernah menjadi perhatian ramai kira-kira lima tahun lalu selepas cerita tentang nenek berusia 116 tahun tetapi mempunyai nombor kad pengenalan yang menunjukkan umurnya baharu 16 tahun menjadi tular ketika itu.

Kekeliruan pada nombor kad pengenalannya itu juga menye­babkan permohonan warga emas tersebut untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia pernah ditolak sebanyak dua kali.