MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
MOHD. WAZIR

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, ketika berada di rumahnya semalam, wanita berusia 26 tahun tersebut menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya dari Mahkamah Terengganu.

"Lelaki itu memberitahu mangsa mempunyai hutang kad kredit berjumlah RM10,580.88, namun mangsa menafikan sebelum panggilan disambung kepada seorang anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Mangsa menceritakan kepada anggota polis tersebut dan suspek memberitahu akan siasat perkara itu dengan Bank Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, panggilan itu disambung kepada seorang lagi 'anggota' polis kononnya dari Bukit Aman yang meminta maklumat akaun bank milik mangsa untuk tujuan siasatan

Katanya, mangsa memberi semua maklumat peribadi akaunnya termasuk nombor pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya.

"Tidak lama kemudian, mangsa dihubungi pegawai bank menyatakan ada transaksi berlaku pada akaun miliknya berjumlah RM4,200 ke akaun orang lain.

"Merasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam," katanya. - UTUSAN ONLINE