Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan kaum wanita supaya berfikir dan merenung jauh untuk tidak sesekali menyerahkan kuasa memimpin negara ini ke tangan pembinasa.

Jelas beliau, BN tidak menanam tebu di pinggir bibir yang manisnya diperah manakala hampas dibuang sebaliknya apa yang dikatakan pasti akan dikotakan.

“Masa depan ini juga milik kita, sekali kita memilih parti sebarang (pembangkang), jangan dikesal bahagia yang bakal kita hilang.

“Wahai wanita, sanggupkah kita gadaikan nikmat yang kita kecapi di tanah bertuah ini kepada mereka yang tamakkan kuasa semata-mata? Tidak,” katanya ketika berucap dalam himpunan Ra­tu Hati Negaraku yang diha­diri kira-kira 5,000 ahli Wanita BN di sini hari ini.

Shahrizat berkata, Wanita BN menyambut baik 364 inisiatif, 14 teras dan 25 inisia­tif khusus merentasi 12 kumpulan sasaran utama yang terdapat dalam manifesto BN yang dikhaskan untuk golongan tersebut.

Ujarnya, kesemua inisiatif yang diilhamkan itu bertujuan menjadikan kaum hawa terus berjaya dan bahagia.

“Kebahagiaan wanita kini menjadi kunci kepada kejayaan mana-mana kerajaan dalam sesebuah negara.

“Sudah lebih enam dekad BN memimpin, di mana letaknya wa­nita? 70 peratus institusi pengajian tinggi diisi siapa? 54.3 peratus tenaga kerja di pasaran digerakkan siapa? Hari ini 51 peratus pengundi adalah siapa? Kita wanita,” katanya.