Disebabkan itu, bekas murid Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya itu berhasrat untuk menangguhkan pelajarannya meskipun sudah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di menara gading.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak yang menaja dan mereka memberi keizinan untuk meneruskan hasrat saya.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

“Harapan saya agar peminat dapat doakan kejayaan saya dalam setiap bidang yang diceburi,” ujarnya positif.

Menurut Wani, peluang bertanding dalam pertandingan nyanyian bertaraf olimpik itu adalah sesuatu yang sukar diperoleh.

Oleh yang demikian, dia mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut sementara jalan telah dibuka luas untuknya.

“Lagipun, tahun lalu menjelang peperiksaan SPM, saya sudah berehat agak lama untuk memberi fokus mengulang kaji sembilan mata pelajaran yang diambil.

“Alhamdulillah, kerja keras saya menunjukkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang,” katanya berbangga. - UTUSAN ONLINE